Monday, January 23, 2012

CEPAT MEMBACA DENGAN "BACALAH ANAKKU"




Memang benar, modul "Bacalah Anakku" boleh membantu anak kita cepat membaca. Modul hasil kajian pasangan anak Kelantan, En. Othman Ahamad bersama isterinya Pn. Nik Eliani Nik Nawawi, dapat saya lihat hasilnya bila saya mencubanya pada Aisyah, anak pertama kami.

Terbukti Di PASTI An-Nur


Modul ini saya mula kenal setelah ia digunakan pakai untuk 18 pelajar 6 tahun PASTI An-Nur pada tahun lalu. Hasilnya, semua pelajar kami dapat membaca dengan agak baik kecuali dua orang - kerana kurang sokongan daripada ibubapa mereka.

Akhir tahun lepas, saya beli satu set buku "Bacalah Anakku" beserta VCD rakaman kursus yang dikendalikan sendiri oleh En. Othman dan Pn. Eliani untuk bakal guru di UPSI. Lama juga saya simpan dalam almari, dan bila ada kelapangan, saya cuba belajar sendiri cara menggunakan modul ini.

Mencubanya Pada Aisyah

Bila Aisyah masuk sekolah, saya ruangkan sedikit masa untuk mengajar Aisyah. Alhamdulillah, walaupun tak consistent, tapi semalam Aisyah dapat selesai belajar Buku 1 (daripada 8 buku). Mengikut panduan disediakan, saya difahamkan anak kecil dapat membaca dengan baik apabila khatam buku 8.

Alhamdulillah, Aisyah dapat kuasai dengan baik Buku 1. Dapatlah juga baca beberapa rangkap perkataan yang mudah-mudah seperti "Ini ibu Ani", dan "Ini ibu Abu". Untuk menyuntik semangat, petang semalam saya terus belikan hadiah untuk Aisyah. Hadiah yang simple (toy belajar mengira), cuma RM3, tapi ia bermakna untuk Aisyah. Aisyah sangat excited dapat hadiah.

Kaedah Fonetik Dalam Modul PASTI

Masa mesyuarat PASTI Kawasan Subang November lalu, saya cadangkan modul ini kepada cawangan PASTI yang lain. Rupa-rupanya PASTI memang memasukkan kaedah membaca fonetik sebagaimana "Bacalah Anakku" dalam buku pelajar 5 tahun, tapi masih belum diguna pakai secara berkesan kerana guru-guru belum lagi dikursuskan.

Jadi, saya cadangkan para ibubapa, cubalah guna modul ini untuk membantu anak-anak. Kerana anak yang cepat membaca, akan lebih cepat menguasai ilmu, insyaAllah. Maklumat lanjut, boleh layari laman web ReadNetwork. Selamat membantu pelajaran anak-anak...

No comments:

Post a Comment