Apabila anak sudah mula boleh membaca dan menulis, seakan-akan dunia terbuka luas di hadapan mereka. Saya teringat ketika anak sulong saya baru pandai membaca di sekitar usia 4 tahun, semua tulisan yang dijumpainya dibaca, papan tanda di sepanjang jalan, tajuk buku dan majalah, label pada tin dan bungkusan makanan dan kadang-kadang tulisan pada Tshirt yang dipakai oleh seseorang pun, dia baca dengan kuat.
Ramai pakar yang mahir dalam pendidikan mental kanak-kanak telah mengkaji cara yang paling berkesan untuk mengajar anak-anak membaca. Glenn Doman misalnya menulis sebuah buku yang berjodol "How To Teach Your Baby To Read". Sejujurnya saya tidak pernah mengikut langkah demi langkah apa yang disarankan oleh Glenn Doman di dalam bukunya itu tetapi saya telah mendedahkan anak-anak saya kepada buku di peringkat mereka masih bayi seperti membacakan cerita untuk mereka dan sebagainya. Ibu bapa tidak perlu rasa tertekan jika tidak termampu untuk mengikut cara yang disarankan oleh pakar kanak-kanak. Ada banyak cara atau aktiviti yang dapat membantu kita merangsang kebolehan anak-anak membaca. Kuncinya..buat dengan rasa seronok baik pada ibu bapa atau pun pada anak-anak. Untuk mengajar anak-anak mengenal perkataan, kita tidak perlu memaksa serta menimbulkan perasaan yang kurang senang kerana ini akan menimbulkan kesan yang negatif pula. Anak-anak yang diajar membaca dalam keadaan yang terpaksa dan kurang seronok juga akhirnya boleh membaca tetapi minatnya terhadap buku dan membaca akan terbantut. Yang perlu kita pupuk ke dalam diri anak-anak ialah minat membaca bukan pandai membaca. Anak yang tiada minat membaca, apabila dia telah pandai membaca, dia akan berhenti membaca. Kita mahukan anak-anak yang akan berterusan membaca.
Di antara aktiviti yang pernah saya buat dengan anak-anak untuk meransang mereka mengenal perkataan ialah…